Friday, February 10, 2012

Berita Menarik Bagi Saya Hari Ini!

Bertudung sebab diri sendiri



BERKAT 12 Rabiulawal sempena kelahiran junjungan besar, Nabi Muhammad SAW, Ana Nur Hidayah Mohd. Raffali, 27, membawa arus perubahan besar dalam hidup dan kerjayanya dengan tampil bertudung.
Selepas mengejutkan banyak pihak menerusi pengumuman majlis perkahwinannya dengan seorang jejaka kelahiran Selangor, Ahmad Aznaim Abdullah atau dikenali sebagai Naim, 30, gadis yang menggunakan nama pentas Ana Raffali itu sekali lagi membuka mata ramai terutama peminatnya.
Melangkah setapak lebih dekat dengan tanggungjawabnya sebagai khalifah di muka bumi, Ana yang ditemui ketika sesi fotografi di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, semalam mengakui dia kini merasakan dirinya lebih dekat dengan Maha Pencipta.
"Saya tak melihat pemakaian tudung sebagai satu imej atau trend, ini merupakan pelaksanaan tanggungjawab saya. Sebagai seorang wanita beragama Islam, tidak salah untuk saya mendekatkan diri dengan ajaran agama yang memayungi saya sejak dari kecil," ujarnya yang ditemani buah hatinya yang juga seorang jurufoto bebas itu ketika sesi fotografi tersebut.
Jujur, tatkala lensa kamera jurufoto Kosmo! ,Jeffri Iran membidik tepat ke arah dirinya, si gadis itu kelihatan lebih manis dan tenang.
Kata Ana, penghijrahan itu merupakan doa daripada peminat dan individu sekeliling yang sentiasa menyokongnya selama ini.
"Ramai orang tanya bila nak pakai tudung dan saya jarang memberikan komen mengenai perkara itu. Malah, tidak sesekali saya menangkis atau menolak untuk memakai tudung.
"Dan sekarang syukur Alhamdulillah, doa anda semua dimakbulkan Allah. Jodoh pun sudah ketemu dan kini tanggungjawab saya sebagai seorang wanita beragama Islam semakin lengkap," katanya.
Perasaan yang menusuk terus ke dalam sanubarinya saat dia memutuskan untuk bertudung dirasakan anugerah teragung baginya.
"Alhamdulillah sekarang rasa lebih tenang dan sewaktu hari saya nak pakai tudung itu pun perasaan itu datang dengan sendirinya dan bukan secara mengejut atau tiba-tiba.
"Sebelum keluar makan petang bersama Naim, saya terasa mahu memakai tudung dan saya rasa sangat selesa. Ini perkara terbaik yang pernah berlaku dalam hidup saya, ditambah pula dengan keberkatan Maulidur Rasul pada hari itu," ucap Ana setinggi-tinggi pujian kepada yang Maha Esa atas sinar yang ditunjukkan.
Bertudung bukan satu perkara asing bagi Ana kerana setiap kali menghadiri majlis keagamaan mahupun kenduri dia bakal mengenakan hijab di kepalanya. Malah, dari zaman belajar lagi menurut Ana, dia sememangnya bertudung.
Lisa Jatuh Cinta
Menyangkal sama sekali seandainya ada dakwaan yang mengatakan bahawa dia bertudung disebabkan perjalanan hidupnya yang bakal berkahwin tidak lama lagi, ditambah pula dengan faktor latar belakang keluarga Naim yang bersangkut paut dengan Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan). Bapa Naim sebenarnya pernah bekerja di Jawi.
"Saya bertudung bukan disebabkan keluarga Naim tapi sebab diri saya sendiri, saya bersyukur kerana dikurniakan nikmat dan rezeki yang melimpah ruah dari Allah.
"Beginilah cara saya membalas kasih sayang-Nya kepada saya iaitu kepercayaan bukan saja dari dalaman tapi juga secara lahiriah. Allah bukakan hati dan mata saya untuk mendapat kesedaran secara halus," luah Ana.
Tambahnya, sepanjang jalinan hubungannya dengan Naim dia tidak pernah dipaksa untuk bertudung dan disebabkan itu mereka berasa semakin selesa dan serasi.
"Kami pun banyak berbincang mengenai hal agama dan masing-masing memberikan pendapat masing-masing," katanya.
Ditanya mengenai persiapan Ana menuju hari bahagianya bersama jejaka yang dipanggilnya Naim, jawab Ana segalanya berada di landasan yang tepat.
"Alhamdulillah sedang berjalan lancar, hantaran sikit lagi nak siap, kami sudah buat perjumpaan kedua-dua belah pihak begitu juga dengan pihak masjid dan aturcara majlis pun dah siap," katanya yang bakal menggunakan khidmat Ezuwan Ismail dan Safura Azali sebagai pereka pakaian nikah dan resepsi nanti.
Menerusi perbincangan yang sudah dibuat, tambah Ana, sebanyak tujuh dulang hantaran dari pihak lelaki dan sembilan dulang hantaran dari pihak perempuan sudah dipersetujui.

FIGURA yang dikenali dengan imej sopan ini mengakui dirinya kini semakin dekat dengan Tuhan.


Sementara, mas kahwin dan perkara lainnya masih dalam proses perbincangan.
Memikul tanggungjawab bergelar isteri pastinya sedikit sebanyak menghadiahkan jiwa gemuruh buat Ana. Diakui sendiri oleh empunya badan, katanya lagi: "Saya bersyukur sangat-sangat, senang cerita perasaan saya gemuruh dan gembira. Semuanya bercampur-baur."
Memilih untuk berkahwin tatkala karier masih berada di puncak sekali gus bersama satu tanggungjawab yang makin berat, Ana menegaskan dia tidak akan sesekali meninggalkan kariernya sebagai anak seni.
"Saya akan terus berkarya dan insya-Allah pada bulan Mei nanti saya bakal muncul bersama album kedua saya yang memuatkan 10 buah lagu termasuk sebuah lagu baharu, Lisa Jatuh Cinta.
"Material semua dah ada cuma konsepnya masih belum diputuskan. Biar tanggungjawab saya sudah bertambah tapi saya tetap Ana Raffali yang anda semua kenali," tegasnya.
Bingkisan lagu buat Naim
Sebagai seorang karyawan merangkap penulis lirik dan komposer muda yang berbakat, Ana Raffali tidak ketinggalan mendedikasikan sebuah lagu khas buat sang kekasih, Ahmad Aznaim Abdullah, 30.
Lagu Sampai Bila dihasilkannya dua tahun lalu dan katanya tidak sengaja ditujukan khas buat bakal suaminya itu.
"Dua tahun lalu kalau tak silap saya cipta lagu itu dan yang menariknya setiap intipati dalam lagu itu menceritakan kisah saya dan dia (Naim)," singkapnya.
Secara literal, lagu itu menurut Ana berkisar tentang kisah kekasih yang sudah sekian lama bercinta. Jadi sudah sampai masanya untuk setiap pasangan itu meneroka peringkat lebih tinggi dalam sesebuah ikatan perhubungan untuk menyatukan dua hati.
"Lagu ini sebagai pesanan mesra kepada mereka yang sedang bercinta dan merancang masa depan bersama," ucap Ana.










-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Alhamdulillah...
Selak akhbar Hari Jumaat terus ai tertarik ngan berita ini..
Syabas Ana Rafalli.. Gembitanya rasa bila artis kita makin ramai yang berubah...
Bukan apa, Artis kan byk menjadi ikutan...
Banyak pengaruh...
Mana tau, ada juga antara peminat Ana Raffali yang join skali bertudung...
Dalam diam kita dapat pahala free... Mana nak carikan???

Antara artis yg ai kagum sangat akan perubahannya..
Wardina, Catriana Ross, Sham Kamikaze dan Ziela Jalil...
Ramai lagi rasanya artis kita yang dah berubah...
Sentiasa berdakwah untuk kebaikan...
Ya Allah besarnya nikmatmu yg memegang hati seseorang...
Semoga kau sentiasa menjaga hatiku dan suamiku serta anakku
dan semua umat manusia si sekalian alam, amin...



  

0 comments:

Post a Comment

 

ChErItA kHeSaH kHaMi Copyright © 2012 Design by Ipietoon Blogger Template